Hantu? Aku rasa semua orang tahu apa itu hantu. Kalau tengok kat Wikipedia, maksud hantu merupakan kepercayaan mengenai makhluk halus yang wujud di dalam alam lain yang terdapat dalam semua kebudayaan dalam dunia ini.
Adakah kita percaya akan kewujudan hantu? Ada sesetengah orang tidak, namun yang pasti ramai yang percaya akan kewujudan makhluk yang di namakan sebagai 'Hantu'. Kita sering di takut - takutkan sewaktu kecil dengan hantu. Malah perasaan takut terhadap hantu menjadi lebih terdedah dengan adanya filem - filem serta drama - drama yang berkisar tentang hantu.
Yang pasti, terdapat pelbagai makhluk yang di cipta oleh Allah S.W.T termasuklah golongan Jin dan Syaitan. Sepercaya manapun kita dengan 'hantu', jauhilah sifat Syirik dan sentiasa beringat yang Allah S.W.T adalah yang Maha Berkuasa.
Okay, berbalik pada cerita yang nak aku sampaikan. Kisah ni terjadi kat aku lebih dari 10 tahun yang lalu. Pada waktu tu aku bercuti balik ke rumah mertuaku di Pulau Langkawi. Aku kalau balik rumah mertua memang takkan kurang dari 3 hari sebab kalau cuma pergi dalam waktu yang singkat, ianya akan menjadi satu perjalanan yang amat meletihkan akibat daripada faktor jarak perjalanan yang jauh. Waktu tu juga aku boleh la dikatakan seorang pemancing yang tegar. So bila dah ada di Pulau Langkawi yang memang namanya pulau (di kelilingi laut), aku pun mengambil kesempatan untuk memancing di sana.
Pada satu malam, aku bersama abang serta adik iparku pergi ke Jeti Terminal Feri Kuah untuk memancing. Kalau tak silap, kami mula masuk ke dalam kawasan Jeti lebih kurang dalam pukul 10 malam. Jeti Terminal Kuah ni terbahagi kepada 2. Satu bahagian untuk Kuala Kedah dan satu lagi bahagian untuk Kuala Perlis. Aktiviti pancing bermula dengan masing-masing mula membaling umpan dalam jarak yang dekat - dekat. Dari satu tempat beralih ke satu tempat hinggalah masing - masing mula mencari 'spot' masing - masing sebab dekat 1 jam lebih memancing, seekor ikan pun tak dapat.
Suasana kat Terminal Feri pada malam tu memang sunyi dan gelap. Feri / Bot kosong yang 'parking' merapati Jeti terbuai - buai kena ombak. Satu kelibat orang pun tak kelihatan. Aku yang bosan, mula beralih ke sebelah Jeti Kuala Perlis (adik ipar dan abang ipar) masih di Jeti Kuala Kedah. Aku berubah 'spot' beberapa kali sehinggalah hampir ke penghujung Jeti.
Nampaknya memang tak ada ikan malam tu, cuma getuan ikan - ikan kecil yang tidak sesuai dengan saiz mata kail yang aku gunakan. Umpan habis tapi ikan seekor pun tak lekat. Hampir-hampir nak jam 1 pagi, aku mula bertukar 'spot' berundur semula ke bahagian tengah jeti.
Sedang aku memasang umpan, tiba-tiba aku terlibat satu kelibat betul - betul di sebelah sebuah bot / feri. Memang tidak terlintas langsung dalam pemikiran aku tentang 'hantu'. Aku lihat 'orang' tu berambut panjang. Hati aku terdetik, "eh, buat apa mamat rock ni malam-malam kat atas jeti ni. memancing jugak ke?" Dalam suasana yang kelam tu, aku cuba tengok dengan lebih jelas ke arah 'mamat rock' yang hanya lebih kurang 10 meter dari tempat aku berdiri memasang umpan.
Secara tiba-tiba darah aku berderau, meremang bulu tengkuk aku. Aku tengok kelibat tersebut mula menggerakkan badan ke posisi seolah - seolah 'rukuk'. Rambutnya mencecah ke lantai jeti dan berbaju labuh berwarna putih. Secara spontan, aku lepaskan batang pancing aku, mulut membaca Ayatul Kursi dan aku terus berjalan laju menuju ke arah daratan. Aku toleh dan lihat posisi misteri yang berbaju putih itu masih dalam keadaan 'rukuk'. Aku mula lari-lari anak mencari adik dan abang iparku. Semua peralatan pancingku sudah aku biarkan di tengah - tengah jeti bersama 'lembaga' tersebut.
Lebih kurang macam ni tapi dalam keadaan 'rukuk'. Gambar cuma hiasan, credit to the owner. |
Bila sampai ke Terminal Jeti, aku nampak adik iparku sedang memancing. Tanpa banyak cakap aku minta dia pergi ke tengah Jeti Kuala Perlis untuk ambilkan peralatan pancingku. Aku bagitahu yang aku terlupa nak ambik sebab aku rushing untuk ke tandas. Adik iparku tanpa banyak soal terus berjalan ke arah Jeti Kuala Perlis dan kembali dengan peralatan pancing dalam waktu yang singkat. Dia hulurkan kat aku, tapi aku bagitahu yang aku dah takde mood nak pancing sebab takde ikan.
Adik ipar serta abang iparku pancing lagi lebih kurang dalam setengah jam sebelum sepakat untuk balik dalam jam lebih kurang 2.30 pagi. Memang tiada hasil malam tu, kami bertiga tak dapat ikan.
Sebelum pulang ke rumah mertua, kami singgah untuk minum malam di gerai berhampiran Pekan Kuah. Masa minum tu baru aku mula bertanya pada adik ipar aku samada beliau ada nampak orang tak kat tempat pancing yang aku kononnya 'tertinggal'. Beliau jawab takde siapa pun kat atas Jeti Kuala Perlis tu. Then aku pun ceritakan apa yang aku nampak. Adik ipar aku kata kalau dia tahu, dia takkan pergi ambil peralatan pancing aku sebab seram. Habis mengeteh, kami pun balik ke rumah mertuaku dengan perasaan yang penuh misteri ... terutama sekali aku le sebab aku yang nampak 'lembaga' berambut panjang dan berbaju labuh berwarna putih tu. Aku tak dapat bayangkan macamana kalau 'lembaga' tersebut tiba-tiba bangun daripada posisi 'rukuk' yang boleh menampakkan mukanya. Nauzubillah.
Peristiwa 'penampakan' tersebut masih segar dalam ingatan dan aku berdoa agar aku tidak akan berhadapan dengan situasi tersebut sekali lagi. Cukuplah hanya sekali ...
** Dan yang terkini apa yang aku tahu, sekarang kita tidak boleh lagi memasuki kawasan Jeti Terminal Kuah selepas waktu operasi.
No comments:
Post a Comment