Monday, March 12, 2012

First Servis a.k.a 1000km Servis

Seperti yang dijangka, aku pasti akan membuat 1st servis untuk exoraku di luar negeri Melaka. Dan baru tidak sampai 4 hari aku mendapat pesawatku, ianya telah masuk ke Pusat Servis Proton di Kota Bharu, Kelantan Darul Naim.

Aku sampai di Pusat Servis Proton dalam jam 930 pagi. Dari luar aku lihat kereta boleh tahan banyak di dalam pusat servis. Setelah mengambil nombor giliran (tanpa temujanji), aku tunggu lebih kurang dalam kurang 10 minit sebelum nombor aku kena panggil. Aku terus memaklumkan pada Customer Service yang aku nak buat 1,000km servis. Aku turut memaklumkan 2 perkara yang aku minta mereka tolong semak iaitu :-
  1. Bila tayar hadapan terhentak agak kuat (langgar lubang atau langgar speed breaker yang runcing), akan keluar bunyi susulan dari bahagian hadapan sebelah tayar kiri. Bunyi lebih kurang 'treet treet treeet' dalam 2 ke 3 saat.
  2. Aku minta Pusat Service untuk gamkan semula cover wayar yang tertanggal sendiri pada cermin pandang belakang.
Customer Service pun menunjukkan apa yang perlu aku beli / servis untuk servis 1,000km. Aku lihat pada butiran servis yang Engine Oil yang akan digunakan adalah untuk servis kali ini adalah yang untuk 5,000km. Aku bertanya kepada Customer Service yang Exora ni kena servis semula pada 5,000km kah sebab kalau ikutkan pada buku servis, next servis selepas 1,000km tertulis 10,000km bukannya 5,000km. Customer Service pun lihat semula buku servis dan kata "betul la, saya akan tukarkan ke minyak 10,000km".

Setelah menunggu dalam 20 - 30 minit, aku lihat Exoraku telah mula di bawa masuk ke Service Bay dan dalam 20 minit selepas itu aku lihat semuanya nampak dah siap. Mekanik yang buat kereta aku pun dah mula macam nak buat last check. Aku masuk ke dalam kawasan servis (kebetulan untuk ke tandas) dan terus ke Exoraku. Aku bertanya kepada Mekanik tentang masalah bunyi seperti yang aku adukan. Beliau kata beliau tak dengar apa - apa bunyi apabila test drive mengelilingi Pusat Servis. Aku kata pada beliau, memang la tak bunyi sebab tak terhentak langgar lubang, kalau langgar lubang dalam dan ada brek susulan, sure akan ada bunyi. Aku cadangkan pada beliau untuk membawa beliau test di kawasan sekitar Pusat Servis untuk beliau sendiri dengar akan bunyi tersebut. Beliau bersetuju dan aku pun membawa keluar keretaku ke luar Pusat Servis dan Mekanik menjadi penumpang. Aku minta beliau guidekan aku ke jalan - jalan yang ada lubang untuk ujian dibuat. Dalam perjalanan lebih kurang dalam 3-4 kilometer mengelilingi kawasan sekitar, aku telah sengaja memandu kereta melalui 1 lubang yang agak dalam dan bunyi 'misteri' pun tiba. Dan sebelum balik ke Pusat Servis, ada 1 speed breaker yang agak runcing yang turut membuatkan bunyi tersebut muncul. Mekanik yang ikut aku pun agak hairan akan bunyi tersebut. Beliau kata ni adalah kes pertama yang ada aduan sebegini.

Kembali di Pusat Servis, beliau kembali membuka bonet keretaku dan mula membuat semakan. Dalam lebih kurang 10 minit, beliau maklumkan padaku yang beliau akan bawa seorang lagi mekanik untuk test drive memandangkan beliau tidak dapat memastikan punca masalah / bunyi tersebut. Apabila mereka pulang semula ke Pusat Servis (lebih kurang dalam 10 minit test drive), mereka masih lagi tidak dapat mengenalpasti akan punca masalah tersebut. Mereka maklumkan yang mereka akan cuba telefon Ibupejabat untuk mendapatkan penjelasan dan diminta diberikan sedikit masa. Aku yang perlu bekerja kerana ada beberapa temujanji dengan pelanggan meminta mereka uruskan kereta aku dan aku akan kembali pada waktu petang untuk ambil kereta.

Aku kemudian meninggalkan Pusat Servis dengan menelefon seorang rakanku di Kota Bharu untuk membawaku ke lokasi bekerja.

Setelah hampir 5 jam, aku kembali ke Pusat Servis pada petangnya dan agak mengecewakan apabila aku dimaklumkan yang masalah bunyi tersebut masih belum selesai kerana menurut Mekanik, mereka cuba mendapatkan panduan daripada Ibupejabat tetapi cubaan mereka gagal sebab tiada orang pick-up di Ibupejabat. Tapi mereka katakan yang mereka telah rujuk dengan Engineer setempat dan mengesahkan walaupun ada bunyi, kereta adalah selamat untuk digunakan dan boleh dibawa pulang ke Melaka.

Apa lagi aku nak kata, aku ucapkan terima kasih kepada Mekanik yang attend kereta aku atas usaha beliau. Aku tahu beliau memang cuba sedaya upaya nak selesaikan tapi malang sekali tiada support. Aku tak salahkan beliau dalam perkara ini malah aku puji cara beliau berinteraksi dengan aku yang mana beliau adalah amat ramah dan mesra pelanggan. Aku rasa lebih mesra daripada Customer Service yang attend aku di kaunter hadapan.

So, setelah bil di cetak, aku terus membayar di kaunter. Dapat 1 toolkit percuma sebab beli minyak yang 10,000km tu. Tiada langsung lebihan Engine Oil dll yang diserahkan kepadaku sebagai bukti semuanya telah digunakan. Bil untuk servis 1,000km ku adalah hampir RM200.00 (mungkin Engine Oil yang agak mahal)

Nak dijadikan cerita, seminggu selepas aku buat servis pertama, baru aku perasan yang pada sticker next service yang ditampal di cermin depan tertulis 5,000km bukan 10,000km. Aku confused sekarang samada Engine Oil yang dimasukkan adalah  untuk 5,000km atau 10,000km. Tapi berpandukan pada bil, aku yakin yang Engine Oil tersebut adalah 10,000km dan aku menganggap 5,000km yang tertulis pada sticker tersebut sebagai 'typo error'. Plus, aduan kedua aku yang untuk mereka betulkan semula cover wayar aku pun rupanya tak dibuat. Hmmm ...

Masalah bunyi 'treet treet treet' tersebut masih menjadi misteri sehingga ke hari ini kerana ianya masih berlaku. Aku ada bertanya kepada beberapa orang, katanya bunyi tersebut adalah normal (bunyi ABS Adjustment) tapi tiada yang benar - benar boleh mengesahkan perkara ini. Akan aku tanya semula pada servis 10,000km ku di Pusat Servis Proton (harap-harap di Malim, Melaka) kelak dan kita tunggu apa sebenar bunyi tersebut.

Pusat Servis Proton, Kota Bharu .... terima kasih !

Dari Pasir Mas ke Kota Bharu sebelum Odometer mencecah 999km.

Odometer at 999km. Esok kena servis la tu !
Lepas habis kerja, before kembali ke Pusat Servis Proton - Sempat singgah beli Wau kat PCB.



Sunday, March 11, 2012

Pengembaraan Sulung

Outstation? Long Distance?

Aku dijadualkan untuk ke beberapa projek di Kelantan dan Terengganu sehari selepas aku menerima Exoraku. Daerah - daerah yang perlu aku lawati adalah Gua Musang, Tanah Merah, Pasir Mas, Kota Bharu, Tumpat, Pasir Puteh dan Hulu Terengganu.

Untuk itu, dari Melaka aku perlulah memandu ke Kuala Lumpur, masuk ke lebuhraya Karak, keluar di Bentong, melalui daerah Raub dan Kuala Lipis seterusnya ke Gua Musang. Dari Gua Musang, aku perlu memandu ke utara melalui Kuala Krai dan Machang untuk tiba di Tanah Merah. Selesai di Tanah Merah, aku akan terus ke Pasir Mas. Selepas itu aku akan ke Tumpat dan Kota Bharu. Dari Kota Bharu, aku akan memandu turun ke Pasir Puteh dan seterusnya melalui daerah Besut dan Setiu sebelum menuju ke Hulu Terengganu melalui jalan Sungai Tong. Dan untuk pulang semula ke Melaka, aku akan mengikuti laluan lebuhraya Pantai Timur 2 (yang masih belum dikenakan caj tol), keluar melalui jalan lama Muktafi Bilal Syah - Gambang (yang berkondisi tidak baik) sebelum memasukki Lebuhraya Pantai Timur dari Gambang hinggalah memasukki Lebuhraya Karak, turun ke Sungai Besi melalui MRR2, masuk ke lebuhraya PLUS sebelum tiba semula di Melaka.

Aku pasti yang jarak perjalanan aku ini akan membuatkan aku menyambut 1,000km pada odometer bukan di Melaka sebaliknya samada di Kelantan / Terengganu. Oleh yang demikian, aku perlulah bersedia untuk melaksanakan servis pertamaku luar dari negeri Melaka. Dan aku turut menjangkakan masa yang akan di ambil pada hari pertama untuk tiba di Gua Musang akan memakan masa yang agak lama dari biasa kerana aku akan memandu di bawah hadlaju 100km/j pada sepanjang perjalanan tersebut.

Bismillahirahmanirahim

Aku bertolak dari Melaka dalam sekitar jam 9 pagi. Masih lagi kekok membawa MPV, aku berasa agak tinggi di atas jalanraya. Di lebuhraya PLUS menuju ke Sungai Besi, aku kekalkan pemanduan dalam sekitar 90km/j - 100km/j. Ada juga sekali dua, aku terpaksa menekan sehingga 110 km/j kerana adakalanya situasi semasa memandu memaksa kita untuk bergerak lebih laju untuk mengelakkan situasi yang merbahaya dari berlaku. Namun pergerakan 110km/j hanya kurang dari beberapa saat hanya untuk memastikan kelancaran pemanduan sahaja.

Exora Bold CFE yang dibawa meluncur dengan tenang dan baik sekali. Pedal minyak hanya perlu ditekan sedikit sahaja kerana masih ringan (baru). Jika diturutkan hati, mahu sahaja aku memecut untuk mencuba tahap kelajuan kereta baruku ini.

Perkara / isu pertama yang aku kesan ketika membawa Exoraku dalam perjalanan jarak jauh yang sulung ini adalah 'alignment'. Ianya memang tidak tepat dan lari ke kanan. Kedudukan stering aku perlu sedikit ke kiri untuk memastikan yang Exoraku meluncur lurus. Jika stering di tegakkan, maka Exora akan membawa ke kanan perlahan - lahan.

Tibalah saat aku memasuki lebuhraya Karak yang sedikit mencabar. Aku rasa yang lebuhraya ini adalah platform terbaik untuk menguji kehebatan Proton Exora Bold CFE kerana jalannya yang banyak selekoh serta terdapat beberapa pendakian tinggi yang perlu dibuat. Seperti yang dijangkakan, prestasi Proton Exora Bold adalah amat baik dalam menangani cabaran di lebuhraya karak. Pendakian sebelum persimpangan Genting Highland di kawasan Genting Sempah amat mudah di daki oleh Proton Exora Bold CFE. Dengan beberapa kenderaan jenis lain seakan berhempas pulas membuat pendakian demi untuk mengekalkan kelajuan, Proton Exora Bold CFE meluncur naik dengan tenang serta menunjukkan 'taring' turbonya sekali sekala hingga berjaya memotong beberapa MPV luar negara tanpa sebarang kesukaran.

Sebaik sahaja keluar dari Lebuhraya Karak ke Bentong, aku menuju ke Kuala Lipis. Aku berehat sebentar di R&R Benta untuk makan tengahari kerana perut sudah kelaparan pada waktu tersebut.

Selalunya aku akan berehat di Jeram Besu dengan menikmati makanan yang dibekalkan oleh isteriku sambil menikmati keindahan air sungai yang mengalir deras. Namun, untuk perjalanan kali ini, aku mengambil keputusan untuk tidak 'berkelah' di kawasan tersebut kerana kekerapan kita dengar akan wabak Leptospirosis sering berlaku di tapak - tapak perkhemahan / perkelahan air terjun. Aku tidak katakan yang Jeram Besu mempunyai wabak tersebut, tindakan aku ini hanya sekadar untuk berhati - hati sahaja. Jeram Besu adalah lokasi yang baik untuk berkelah dan bersantai bersama keluarga.

R&R Benta ini agak unik. Apa yang uniknya? Terdapat beberapa gerai menjual pelbagai makanan di sini namun yang peliknya pembinaan tapak R&R ini dibuat dengan tanpa adanya 1 sinki pun untuk pengunjung membasuh tangan. Pili air yang ada hanyalah di dalam tandas (RM0.30 sekali masuk) dan di Surau. Di kawasan makan, seharusnya ada di sediakan sinki untuk basuh tangan. Ianya adalah perkara asas dan aku harap mana - mana agensi / badan dapatlah membina kemudahan ini di masa akan datang. Ketiadaan sinki menyebabkan pemilik gerai terpaksa menyediakan bekas basuhan tangan pada setiap meja yang ada.

Selepas selesai menjamu selera, aku teringat akan pesanan isteriku untuk membelikan beliau Top-Up Prepaid. Terdapat 1 kedai di sini dan apabila aku bertanya akan Top-Up Digi RM10, pemilik kedai berkata "ada, tapi RM10.50 ye". Hmmmm, tak pernah aku beli Top-Up RM10.00 tapi bayar RM10.50. Apa nak buat, memang tiada pilihan kedai di sini, maka aku pun membeli Top-Up tersebut dengan RM0.50 lebih mahal dari biasa. Aku halalkanlah RM0.50 tersebut tetapi rasanya pihak pembekal telekomukasi perlulah memainkan peranan untuk memantau agar perkara - perkara sebegini tidak berlaku di mana - mana.

Dari Benta, aku menuju ke Kuala Lipis. Setiba di Kuala Lipis, aku menggunakan jalan alternatif Felda Kechau untuk ke Gua Musang. Jalan Felda Kechau ini di temui secara tidak sengaja ketika aku menggunakan GPS Garmin suatu ketika dulu. Setelah melalui jalan ini sekali, setiap kali aku nak ke Gua Musang, aku pasti akan ikut jalan ini. Meskipun jalannya agak sempit, namun trafik di sini amat kurang. Ini membolehkan kenderaan bergerak lancar meskipun perlahan akibat daripada jalan sempit berbukit dan kadangkala terserempak dengan jentera membawa sawit. Setelah sampai di penghujung jalan Felda Kechau, maka aku pun memasuki semula jalan utama Lipis-Gua Musang. Ini adalah salah satu jalan yang aku tidak begitu gemar untuk lalui kerana jalan berbukit yang sempit serta agak bersimpang siur. Yang membuatkan perjalanan menjadi tidak selesa apabila kita mengikuti jalan ini adalah apabila kita terpaksa mengikut lori - lori yang sarat dengan muatan, mendaki bukit dengan amat perlahan (bawah 40km/j) dan situasi tersebut pulak di kawasan yang banyak selekoh. Di sini kita akan temui 'dare devil' a.k.a 'pemandu 'kamikaze' yang akan mempertaruhkan nyawa mereka semata - mata kerana tiada kesabaran dan ingin sampai cepat ke destinasi. Pada selekoh yang memang kita tidak akan nampak kenderaan daripada hadapan pun set-set 'kamikaze' ini akan memotong. Bagi aku, jika lori / kenderaan bergerak dalam sekitar 50km/j - 70km/j, apa salahnya bersabar sehingga kita benar - benar berada di jalan yang membolehkan kita memotong dengan selamat untuk mula memotong. Merbahayanya memotong secara 'gamble' ini adalah sekiranya kenderaan lain datang dari arah bertentang, adalah satu yang cukup malang bagi kenderaan terbabit sekiranya nahas berlaku.

Aku tiba di Gua Musang dalam sekitar jam 4.30 petang dan terus mendapatkan bilik di Hotel Fully Inn untuk bermalam. Hotel Fully Inn adalah hotel yang kerap aku bermalam sekiranya aku bertugas di Gua Musang.

Perjalanan tugasan aku di teruskan pada dengan menuju ke Tanah Merah, Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh dan berpatah balik ke Pasir Mas serta Tanah Merah sebanyak 2 kali dari Kota Bharu.

Di Tanah Merah aku menginap di Hotel Jebak Inn, sebuah hotel (boleh dikatakan dalam kategori Motel) yang baru. Sebelum ini jika di Tanah Merah, aku akan sentiasa menginap di E'Mage Park Inn tetapi pada lawatan aku yang lalu, aku mendapati kondisi hotel ini semakin lama semakin tidak terjaga dari segi 'maintenance' dan tahap kebersihan. Oleh yang demikian, pada trip kali ini, aku memilih untuk menginap di Hotel Jebak Inn meskipun ianya diluar kawasan bandar utama Tanah Merah.

Jebak Inn, Tanah Merah, Kelantan Darul Naim





Parking di depan Jebak Inn yang agak sibuk pada waktu petang
Di Tanah Merah juga aku terpaksa membuat cucian ke atas Exoraku kerana perjalanan jauh telah menyebabkan 'pesawat' dalam keadaan yang amat comot lebih - lebih lagi apabila menempuh cuaca hujan sewaktu perjalanan dari Gua Musang ke Tanah Merah.

Basuh kereta di Tanah Merah
Manakala pada trip ini juga, aku telah menginap selama 4 malam di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu. Ia sememangnya adalah hotel yang terbaik (selain Renaissance) di bandar Kota Bharu.

Di hadapan Grand Riverview Hotel, Kota Bharu.
Tup-tup odometer 'pesawat'ku yang baru keluar dalam 4 hari telah mencecah ke angka 1,000 km. Ini bermakna aku terpaksa membuat 1st Service di Kota Bharu, Kelantan Darul Naim. Insyallah akan aku khaskan satu topik untuk ceritakan pengalaman aku membuat 1st Service di Pusat Servis EON Kota Bharu dalam post yang seterusnya.

Exoraku mencecah 1000km dalam 3 hari.
 Setelah berakhirnya tugasan di Negeri Kelantan, aku bertolak ke Hulu Terengganu dengan melalui route Pasir Puteh - Besut - Setiu - Sungai Tong - Hulu Terengganu. Seperti biasa, aku bermalam di Villa Anggerik Impian yang merupakan sebuah motel yang terbaik yang terdapat di Kuala Berang.

Di depan Anggerik Impian, Kuala Berang, Terengganu Darul Iman
Setelah mengembara bersama Bold baruku selama 7 hari, aku kembali ke Melaka dengan menggunakan route Hulu Terengganu ke Lebuhraya Pantai Timur 2. Lebuhraya ini masih baru dan masih lagi percuma untuk digunakan. Keadaan jalan adalah baik dan selesa. Seharusnya lebuhraya ini boleh menuju sehingga ke Kuantan, namun oleh kerana ianya masih belum siap, exit terakhir yang perlu kita keluar adalah pada exit Muktafi Bilal Syah. Dari Muktafi Bilal Syah, kita perlu melalui jalan lama menuju ke Gambang. Perjalanan ini akan mengambil masa lebih kurang 1jam 30mint dengan menggunakan jalan yang betul - betul mencabar kerana jalan yang sedia ada ini banyak yang rosak. Terdapat banyak lubang - lubang di atas jalan. Bold dipandu dengan penuh berhati - hati agar tidak memasuki lubang yang dalam.

Apabila tiba di Gambang, aku menggunakan Lebuhraya Pantai Timur 1 untuk terus menuju ke Lebuhraya Karak. Lebuhraya Pantai Timur 1 juga mempunyai jalan yang baik tetapi semua kenderaan perlulah berhati - hati menggunakan lebuhraya ini apabila hari hujan kerana jalan yang tidak rata menyebabkan banyak lopak - lopak air yang boleh menyebabkan kenderaan terbabas. Pernah dalam 1 trip ke Pantai Timur, waktu itu hujan amatlah lebat, banyak kenderaan yang terbabas di sepanjang lebuhraya ini. Pada mulanya aku dalam mengira jumlah kenderaan yang terbabas, namun disebabkan terlalu banyak yang terbabas, maka aku lost count selepas kiraan ke 8. Aku agak mungkin dalam sekitar 12 ke 15 kenderaan di lokasi - lokasi berlainan. So, hati  - hati lah jika anda memandu di Lebuhraya Pantai Timur 1 di dalam hujan yang lebat.

Sebelum sampai ke Melaka, aku singgah sebentar di Cyberjaya dengan tujuan untuk membeli sebuah lensa terpakai. Namun agak mengecewakan setelah aku mencuba lensa tersebut, ianya di dapati rosak pada bahagian motor fokus. Dari Cyberjaya, aku terus pulang ke Melaka dan tiba di Melaka dalam sekitar jam 4 petang.

Kesimpulan 1st Long Distance

Bold CFE memey power !

Sunday, March 4, 2012

Bienvenida Exora !

Selamat Datang Exora !

Pengenalan

Pertama sekali aku ucap selamat datang dan selamat membaca kepada semua pengunjung ke blog ini.

Memandangkan aku sering mengembara dengan memandu di hampir setiap pelusuk Semenanjung Malaysia, maka aku rasa perlulah aku membuat catatan kembara dan mungkin ada di antara subjek / topik yang aku akan ceritakan mampu dijadikan rujukan kepada rakan - rakan yang lain.

Catatan yang akan aku tulis akan berkisar tentang pengembaraanku bersama pesawat baruku iaitu Proton Exora Bold CFE. Antara yang akan dicatatkan adalah tempat - tempat yang dilawati, lokasi rehat, lokasi tempat makan, lokasi tumpuan / hotspot dan lain - lain yang berkaitan dengan perjalanan aku dan Exoraku.

MPV?

Sebenarnya aku juga pada mula teragak - agak samada untuk memilih MPV atau SUV bagi menggantikan kereta sedan yang telah aku gunakan selama lebih kurang dalam 7 tahun.

Sudah pasti aku perlukan sebuah kenderaan yang mampu membawa lebih ramai penumpang / barang kerana keluargaku sudah membesar. Jika dikira dengan anak di dalam kandungan isteriku, jumlah ahli keluarga akan menjadi seramai 6 orang. Yang benar - benar membuat aku serius dalam usaha mendapatkan kenderaan baru adalah apabila pada bulan Disember yang lalu, aku membawa keluargaku bercuti di Terengganu selama 6 hari, kereta sedan memang sarat. Bukan sahaja dengan beg - beg pakaian, malah dengan bekalan makanan dan keperluan harian hinggakan hasrat untuk membeli belah juga terpaksa dilupakan kerana tiada ruang lagi untuk kami penuhkan. Dan semasa memandu pulang itulah aku bertekad untuk menukar kenderaan kepada kenderaan yang lebih besar. Kesian melihat anak - anak duduk sempit di dalam kereta.

Dalam pencarian serius ini, beberapa model kenderaan MPV dan SUV telah aku kenalpasti yang mana ianya masih di dalam bajet yang termampu olehku. Antaranya adalah :-

MPV
  1. Toyota Wish
  2. Toyota Estima
  3. Honda Stream
  4. Honda Odyssey
SUV
  1. Honda CRV
  2. Toyota Rush
  3. Toyota Fortuner
Malah aku turut membuat penilaian ke atas kenderaan 4x4 seperti Mitshibushi Triton dan Toyota Hilux.

Dan selang beberapa minggu, aku bertekad bahawa MPV adalah yang paling sesuai dan aku memilih Toyota Wish 1.8 (2004) untuk dimiliki. Kereta, kedai dan harga telah pun aku kenalpasti. Yang tinggal hanya untuk transaksi pembelian sahaja.

Mana ye Exora dalam senarai ini? Memang tidak terlintas pada awalnya untuk aku memiliki Exora kerana repustasi 'underpower' yang sering aku dengar dari rakan - rakan yang lain membuatkan aku langsung tidak terfikir tentang Exora.

Exora Baru

Namun, pada satu hari, aku kebetulan telah terbaca satu artikel di dalam akhbar The Star yang mana ianya adalah berkisar tentang 'test drive' Proton Exora Bold CFE. Aku amat tertarik dengan artikel serta komentar dari penulis yang telah menguji sendiri kenderaan tersebut. Dari situ, aku berkata 'pause' kepada Toyota Wish dan mula mengkaji Proton Exora Bold CFE di internet dan pelbagai artikel. Daripada 'survey' yang aku buat, aku tergerak pula untuk ke Pusat Jualan Proton Edar untuk melihat sendiri Bold dari jarak dekat dan membuat pertanyaan kepada Sale Assistant (SA) di situ. Memang menarik, aku terus bertanyakan harga serta berkata akan menghubungi semula SA sekiranya aku benar - benar mahukan Exora dan akan datang semula untuk Test Drive.

Selepas 2 minggu 'bertapa' untuk membuat keputusan, maka pun membuat keputusan muktamad untuk memiliki Bold. Aku menghubungi SA dan menetapkan tarikh untuk Test Drive.

Exora Bold - Test Drive

Tidak banyak sebenarnya yang boleh dilakukan sewaktu test drive memandangkan jarak yang dibenarkan untuk test drive adalah agak dekat serta 'route' yang ditetapkan adalah jalan yang sibuk serta banyak lampu isyarat.

Namun, daripada percubaan yang singkat tersebut, aku tetap dapat rasakan kekuatan pada Bold. Kekuatan pecutan dan kelancaran kendalian. Aku amat berpuashati.

Aku meminta kebenaran SA untuk benarkan aku bawa memasuki lebuhraya AMJ bagi aku membuat ujian kelajuan tapi tidak dibenarkan. Aku faham yang kenderaan ujian ini hanya diinsurankan untuk bergerak di 'route' yang didaftarkan sahaja dan setiap perbatuan perlu dicatatkan secara rasmi di dalam buku log.

Sampai semula ke Pusat Jualan, aku terus membayar wang tempahan. Beberapa dokumen diisi dan diserahkan.

Tidak sampai 2 minggu, urusan pembelian selesai. Cepatnya.

Tinted

Maka beberapa hari sebelum dapat kereta, SA pun ada menelepon bertanya samada aku nak cermin aku di 'tinted' atau tidak sebab kata SA salah satu 'free gift' aku adalah voucher Tinted RM200.00. Aku jawab sure la aku nak 'tinted' sebab kalau tak 'tinted', selain panas nanti nampok togel pulak cermin kereta baru aku. So, SA kata kena datang ke Proton Edar untuk berjumpa dengan vendor 'tinted'. Pada hari yang dijanjikan iaitu 2 hari sebelum aku terima kereta, aku berjumpalah dengan vendor 'tinted' iaitu daripada syarikat Expert Tint. Owner Expert Tint ni seorang perempuan dan beliau amat peramah. Beliau tawarkan 3 pakej bermula dari RM400.00++ hingga ke RM1,400.00++. So, aku terus decide untuk dapatkan yang RM1,400.00 (tolak voucher RM200, kena la caj sebanyak RM1,200.00). Katanya pakej yang aku ambil ni dijamin dashboard takkan pudar, kalau pudar beliau akan bayar ganti rugi. Aku pun bukannya pakar dalam bab - bab 'tinted' ni tapi yang aku dengar dia kata cermin depan aku akan di 'tinted'kan dengan material Riken manakala untuk cermin - cermin yang lain akan menggunakan sejenis material yang ada ciri - ciri security macam tu.

So pada sehari sebelum aku ambik kereta, aku pun pergi ke pusat 'tinted' untuk melihat proses 'tinted' kereta aku dibuat. Kerja - kerja yang dibuat amat teliti dan cepat. Ada beberapa gelembung yang kelihatan tetapi menurut pekerja kat situ, dalam 2 minggu dijamin akan hilang sebab material yang aku pilih ni agak tebal dan akan lambat untuk hilang kesan gelembung udara tersebut.

Bold sedang di 'tinted'kan
Bold Milikku

Maka pada 22hb Februari 2012, aku telah ambik cuti separuh hari untuk ke Proton Edar dengan penuh semangat untuk menerima kereta baru. Alhamdulillah, kenderaan dalam keadaan baik, cuma aku perasan yang kat body Bold aku ada kesan putaran polish yang nipis. Ianya akan nampak nyata apabila matahari tegak memancar ke badan kereta. Tapi jika tidak, memang tak nampak dan kereta nampak amat berkilat.

SA memberikan beberapa penerangan asas semasa serahan. Proses serahan berlangsung dalam lebih kurang 15 minit kerana pada waktu tersebut telahpun lewat petang.

DVD Player

Dalam beberapa soalan ringkas yang aku tanya, ada 1 soalan yang memerlukan 3 orang SA untuk menyelesaikannya. Soalan aku adalah kenapa bila aku test DVD Player, ianya berfungsi tetapi tiada bunyi yang keluar? Setiap seorang SA mencuba tetapi gagal membuat Player tersebut berbunyi namun akhirnya seorang SA yang lebih senior keluar membantu. Rupanya DVD Player di dalam Bold perlu ditetapkan frekuensi bunyi dengan Radio Player di hadapan. Aku agak hairan mengapa teknologi sebegini digunakan kerana ianya akan pasti mendapat gangguan dari masa ke semasa. Sebagai contoh :- kat Melaka, bila kita buka radio pada frekuensi 88.30, tiada saluran radio yang menggunakan frekuensi tersebut, maka kita perlu setkan frekuensi itu pada DVD Player. Bila kita menggunakan DVD Player, maka kita perlu tekan channel 88.30 pada radio hadapan untuk mendapatkan suara. Tetapi apabila kita bergerak ke daerah / negeri lain yang terdapat saluran radio pada frekuensi 88.30, maka kita akan mendapat gangguan bunyi/suara. Untuk menyelesaikan masalah ini, kita perlu set semula pada DVD Player kita frekuensi lain yang tidak digunakan di kawasan tersebut. So, ini adalah satu kelemahan menggunakan teknologi/cara ini.

Dapat Hari Ni, Esok Terus Long Distance

Dalam perjalanan membawa 'pesawat' baruku ke rumah, aku memikirkan perjalanan bersamanya yang akan aku tempuhi pada keesokkan harinya. Ini memandangkan aku telah dijadualkan untuk bertugas di Kelantan dan Terengganu sehari selepas aku menerima 'pesawat'ku ini.

Ada buruk dan baiknya membawa terus kenderaan yang baru kita perolehi tak sampai 24jam untuk pemanduan jarak jauh.

Keburukan :-
  1. Kita tidak pasti apakah 'defect' kenderaan baru. Jika berlaku apa - apa kerosakan di tengah jalan, akan menyukar dan melambatkan perjalanan kita meskipun ianya masih di bawah jaminan.
  2. Kita tidak pasti 'fuel consumption' kenderaan baru, Untuk mengelakkan berlakunya kekeringan minyak di tengah jalan, maka kita perlulah memastikan yang tahap minyak kita sentiasa berada pada tahap yang selamat. Juga kita mesti tahu di mana stesyen minyak yang ada dalam sepanjang perjalanan kita kelak.
  3. Perjalanan akan lebih lambat kerana kata - kata orang, kereta baru tak boleh pecut melebihi 100km/j jika odometer belum menunjukkan angka 1,000 km.
Kebaikan :-
  1. Kita akan dapat mengenal dengan lebih dekat kenderaan baru kita dalam jangkamasa yang singkat.
  2. Memang best la bawak kereta baru !
So, dalam posting aku seterusnya, akuakan ceritakan pula pengembaraan sulungku bersama Exora Bold CFE, perjalanan pergi dan pulang dari Melaka - Kelantan - Terengganu - Melaka.

Terima kasih !